Penulis : Hamedah Wok Awang Jumlah Muka surat : 192 Pages
Sinopsis
Ini adalah kisah sebenar Hamedah semasa berhadapan dengan tragedi yang menimpanya suatu ketika dulu. Kini beliau terpaksa menggunakan kerusi roda bagi meneruskan hidup.
Benarlah kata orang, kita tidak tahu apa yang Tuhan takdirkan untuk kita. Tanggal 30 Ogos 1999 kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya meninggalkan sekolah dalam keadaan segar-bugar, malah sebelum itu saya sempat bergurau dengan Kak Jay, pembantu tadbir sekolah. Kak Jay bergurau mahu mengikut saya ke mesyuarat Pergerakan Puteri Islam di Kuantan. Saya menjawab, "Tidak boleh, tanpa kebenaran daripada Abang Jak," sebagai membalas gurauan Kak Jay.
Tup-tup kira-kira jam 8.00 malam, saya menjadi penghuni Wad 8 Hospital Mentakab dan dua hari kemudian, dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan tinggal di sana selama 51/2 bulan. Apabila saya di'discharge', saya keluar sebagai seorang paraplegia!
Benarlah kata orang segala apa yang kita ada di dunia, termasuk kesihatan hanya dipinjamkan oleh Tuhan yang maha berkuasa. Saya dipinjamkan oleh Tuhan sepasang kaki yang boleh berjalan selama 51 tahun. Kini kaki saya tidak lagi boleh menjalankan fungsi utamanya itu. Tetapi kalau Tuhan meminjamkan, Tuhan pasti akan mengambilnya kembali; tidak mustahil Tuhan uji kita dengan sakit kemudian menyembuhkannya. Itulah keyakinan saya!
Benarlah kata orang, saudara mara dan sahabat handai teruji semasa kita dalam kesusahan. Ya Tuhan, daripada pengalam saya semasa saya sedar dan mengikut makluman semasa saya di luar sedar atau concussion, sokongan moral, perhatian, kasih sayang, ucap selamat dan sembahyang hajat serta doa banyak sekali dibuat untuk saya. Agaknya sekarang kita perlu menukar pepatah Melayu: Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis sukar dicari kepada: Kawan menangis senang dicari, kawan berduka banyak sekali. Begitu juga bait lagu P. Ramlee: Kasihnya saudara masa berada; kepada kasihnya saudara masa berduka. Saya sanggup menjadi orang pertama mengesahkan pertukaran itu berdasarkan pengalaman yang saya lalui itu.
Saya tidak kata apabila mengetahui saya mungkin akan kekal sebagai seorang paraplegia, saya terus berkata, "Itu kehendak Tuhan."
Tidak! Sebagai insan biasa yang serba kekurangan, pada suatu peringkat, saya mengalami tekanan perasaan yang amat berat. Membayangkan bagaimana hidup sebagai seorang paraplegia sungguh menakutkan. Maklum sahaja sebagai seorang paraplegia, saya akan terlalu bergantung kepada kudrat dan ihsan orang.
Lebih kurang dua tahun saya hidup 'helpless and useless' mengikut istilah saya ketika itu sehinggalah saya benar-benar berubah. 'Turning point'nya ialah apabila saya dicabar oleh anak saudara saya, Uzair. Uzair mengatakan kepada saya, "Andak, there is nothing wrong abaout you. You just cannot walk. Yang lain-lain semua OK. Ingatan masih kuat, fikiran pun masih tajam."
Ini diikuti dengan hadiah sebuah 'note book' oleh emaknya, Acik Tun. Dalam tempoh berkenaan, malah sebelumnya pun, macam-macam rangsangan, kata-kata semangat dan dorongan yang diterima daripada para doktor, jururawat, sahabat handai, saudara mara malah bekas guru dan pelajar saya.
Kini saya menerima dugaan Tuhan dengan reda dan menjalani hidup normal sebagai seorang paraplegia. Ikutilah pengalaman saya melalui saat-saat ngeri, cemas dan murung sebelum bermaya, ceria semula.