Penulis : Shahril @ Charil Marzuki, Jumlah Muka surat : 307 Pages
Sinopsis
Buku ini membincangkan secara terperinci setiap aspek pengurusan kewangan sekolah berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas beberapa sekolah. Rumusan dan cadangan diberikan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang timbul. Buku ini sesuai dijadikan rujukan oleh pegawai pendidikan, pengetua, guru besar dan pelajar dalam bidang pendidikan.
Kerajaan sudah membelanjakan wang yang banyak di dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pengetua dan guru besar sekolah bagi memastikan wang yang diperuntukkan oleh kerajaan dibelanjakan secara berhemat, tidak berlaku pembaziran dan digunakan bagi meningkatkan pengajaran pembelajaran sekolah demi kecemerlangan pelajar pada masa hadapan.
Walaupun di sesetengah sekolah pengurusan dan pentadbiran kewangan sekolah diurus oleh kerani kewangan sekolah, namun tanggungjawab pengurusan kewangan sekolah masih terletak di bahu pengetua ataupun guru besar. Oleh itu buku ini membicarakan perihal mengurus dan mentadbir kewangan sekolah.
Ia meliputi:
Bab 1 membincangkan struktur dan sistem pengurusan kewangan sekolah, dan bagaimana sekolah mendapat per-untukan melalui peruntukan Per Kapita Grant (PGG) bagi mata pelajaran, dan Per Kapita Geran (PCG) bagi bukan mata pelajaran.
Bab 2 menganalisis berkenaan organisasi dan pengurusan kewangan sekolah, serta tugas pengetua dan guru besar dalam mengurus kewangan sekolah, peranan AJK kewangan sekolah dan pematuhan pekeliling kewangan dan arahan perbendaharaan yang perlu dipatuhi.
Bab 3 adalah kajian kes berkenaan pengurusan kewangan di sebuah sekolah di SRJK (C) dan SRJK (T) di Rawang Selangor.
Bab 4 adalah kajian kes tentang pengurusan kewangan di Sekolah Menengah Teknik.
Bab 5 membincangkan pengurusan kewangan sebuah sekolah menengah sebelum bertaraf PTj dan selepas bertaraf PTj.
Bab 6, kajian kes berkenaan pengurusan kewangan sekolah di sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Bab 7, kajian kes berkenaan amalan pengetua dalam pengurusan kewangan Sekolah Asrama Penuh.
Bab 8 pula menganalisis laporan audit bersyarat, yang meliputi definisi audit bersyarat, mengapa sesuatu sekolah di kenakan laporan audit bersyarat, dan cara mengatasi masalah laporan audit bersyarat.
Bab 9 membincangkan berkenaan isu-isu pengurusan kewangan sekolah pada masa kini dan cara mengatasi masalah pengurusan kewangan sekolah.
Oleh yang demikian, buku ini sesuai untuk pelajar-pelajar yang mengikuti Kursus Kewangan dalam Pendidikan, Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah, Ekonomi dalam Pendidikan, Perancangan dan Dasar Pendidikan di peringkat pasca ijazah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Buku ini juga sesuai digunakan sebagai bahan rujukan kepada pegawai-pegawai pendidikan, pengetua dan guru besar sekolah yang ingin mempelajari dan mendapat pengetahuan lanjut berkenaan pengurusan dan pentadbiran kewangan sekolah menengah atau rendah di Malaysia.
Setakat ini belum ada lagi buku di pasaran yang membincangkan secara mendalam berkenaan pengurusan kewangan sekolah di Malaysia. Dengan terbitnya buku ini, ia dapat menambahkan khazanah ilmu dan akan menjadi buku rujukan utama dalam pengurusan dan pentadbiran kewangan sekolah di Malaysia.
Sebagai peringatan kepada pembaca, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelajaran yang disebutkan di dalam buku ini merujuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia sekarang.
Di sini saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Dekan, Fakulti Pendidikan yang memberi dorongan supaya semua staf menghasilkan buku ilmiah bagi kegunaan pelajar dan masyarakat umum. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Pn. Normawati Zainol Abidin, Pn. Khalipah binti Md. Jidin dan Pn. Siti Fatimah binti Mohamad Sulam yang sudi menaip manuskrip ini. Akhir sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pelajar-pelajar ijazah sarjana seperti Pn. Subathiren a/p Ramaloo, En. Mokhtar Ibrahim, En. Abdul Rahim bin Affandi, En. Azman bin Abdul Rahman, Pn. Zaidah binti Mustaffa dan En. Haris bin Hamzah yang membenarkan sebahagian daripada tulisan, dapatan dalam kertas projek dan tugasan dimasukkan ke dalam buku ini. Sekian, terima kasih.