Penulis : Ayob Jantan, Jumlah Muka surat : 174 Pages
Sinopsis
Dalam urusan rasmi sekolah, pengetua membawa tiga watak iaitu sebagai pentadbir, pengurus dan pemimpin. Watak kepimpinan adalah tahap tertinggi dalam pengurusan sekolah. Sebahagian besar kandungan buku ini mengupas dan membincangkan berkenaan dengan keberkesanan kepimpinan pengetua menguruskan sekolah.
Pengetua adalah peneraju utama di sekolah. Kata-katanya adalah kata pemutus dan bicaranya adalah suara rasmi organisasinya. Justeru, dalam arus perdana globalisasi hari ini, peranan dan fungsi pengetua masih menjadi fokus dan perhatian umum. Ini bukan kerana pengetua terlalu penting tetapi sebenarnya ribuan pelajar yang ada di dalam institusi sekolah itu yang penting.
Sebenarnya, isu keberkesanan pengetua bukan perkara yang baru. Sudah lama isu ini dikaji dan diperdebatkan oleh penulis dan pengkaji pendidikan. Namun, sehingga kini belum ada ukuran berkenaan keberkesanan itu secara objektif.
Bagaimanakah hendak menjadi pengetua yang efektif? Suatu persoalan yang mudah tetapi sukar dirumuskan dalam bentuk formula sebagai panduan yang dapat diterima umum. Justeru, buku ini tidak membincangkan secara khusus faktor-faktor itu tetapi membicarakan secara terbuka mengikut kesesuaian huraiannya. Namun begitu, setakat ini terdapat tiga paksi yang menentukan keberkesanan kepimpinan pengetua iaitu:
1.Kompetensi pengetua sebagai pemimpin dan pengurus yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan kepakaran. Penguasaan ketiga-ketiga elemen ini akhirnya membeza-kan tahap kecekapan pengetua itu.
2.Sikap, nilai, etika dan persepsi pada tugas, organisasi dan persekitaran mempengaruhi kepimpinan pengetua. Ele-men ini menentukan bentuk dan cara bertindak iaitu ukuran bagi menentukan tahap profesionalisme pengetua dalam menghadapi dan menangani perubahan.
3.Kemantapan sistem sokongan iaitu merangkumi kualiti pengurusan sumber, kemudahan infrastruktur, sistem komunikasi, sistem pembangunan staf dan sebagainya mempengaruhi keberkesanan kepimpinan pengetua ter-utamanya dalam mencapai matlamat organisasi.
Akhirnya, penulis ingin berkongsi sedikit pengalaman dalam membangunkan sistem Kualiti MS ISO 9000. Oleh itu, buku ini melakarkan detik-detik ke arah kejayaan sekolah memperoleh sijil Pendaftaran ISO. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan itu adalah hasil pengorbanan guru-guru dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh. Kejayaan melaksanakan ISO bukan kejayaan individu tetapi memperlihatkan lambang kejayaan organisasi berasaskan pembinaan pasukan kerja yang mantap dan berkesan.
Wajah sekolah adalah wajah pengetuanya. Oleh itu, kita dapat berbangga dengan sebarang kejayaan dan kecemerlangan sekolah. Dalam pada itu, kita juga tidak boleh memberi sebarang alasan lagi apabila imej sekolah tidak begitu baik atau reputasi sekolah yang tidak begitu memberangsangkan. Ini adalah cabaran. Hadapi dan atasi cabaran itu.
Isi Kandungan
Isi kandungan: Kata Alu-aluan Prakata 1 Perkembangan Pendidikan dan Cabarannya Masa Kini 2 Persepsi Kepimpinan 3 Konsep dan Hala Tuju Kompetensi 4 Kemahiran Khusus dalam Kompetensi Kepimpinan Pengetua 5 Kepimpinan Kurikulum 6 Ke Arah Memperkasa Kepimpinan Sekolah 7 Melaksanakan Sistem Kualiti MS ISO 9000 Bibliografi