Penulis : Maznah Ali, Sharifah Norhaidah Syed Idrus, Zurida Ismail, Jumlah Muka surat : 177
Sinopsis
Buku ini membantu guru-guru dan bakal guru merancang persekitaran pembelajaran yang dapat menggalakkan aktiviti penerokaan ilmu sains berdasarkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Ia dapat dijadikan pencetus idea kepada guru-guru bagi mengajar sains dengan lebih berkesan.
Tujuan buku ini ditulis adalah bagi menambah jumlah buku berkenaan pendidikan awal kanak-kanak yang terhad serta membolehkan guru dan bakal guru meningkatkan tahap kefahaman dan pengetahuan dalam bidang pendidikan sains awal kanak-kanak.
Buku ini dihasilkan dengan harapan ia dapat dijadikan panduan dan pencetus ideakepada guru dan bakal guru mengetahui dan memahami kepentingan pelajaran sains serta pendekatan yang sesuai bagi mengajar konsep-konsep berkenaan dengan memberi penekanan pada aspek-aspek isi kandungan, kemahiran proses dan pembentukan sikap dan nilai.
Bab satu membincangkan kepentingan pendidikan sains pada peringkat awal kanak-kanak manakala bab dua menghuraikan kemahiran-kemahiran proses sains yang perlu dikuasai melalui aktiviti-aktiviti yang memberi pelbagai peluang bagi mereka mengumpul, menyusun dan mengelas, membuat pemerhatian, menulis catatan dan melakar gambar rajah, menemu bual dan membuat tinjauan. Teori pembelajaran yang membincangkan beberapa perspektif pembelajaran kanak-kanak turut dibincangkan dalam bab tiga.
Antara matlamat pendidikan sains adalah menyediakan kanak-kanak yang faham kaedah taakulan inkuiri saintifik dan dapat menggunakan kaedah itu. Bab empat dan lima menghuraikan pendekatan dan strategi ini yang sesuai digunakan bagi membolehkan sains diajar agar dapat mencerminkan ‘sains seperti yang diamalkan’ serta menggalakkan pembelajaran aktif, inkuiri, penyelesaian masalah, pembelajaran koperatif dan kaedah pembelajaran lain yang dapat memotivasikan kanak-kanak belajar sains.
Bab enam, tujuh dan lapan menghuraikan beberapa konsep asas sains yang difikirkan sesuai diketengahkan pada peringkat awal kanak-kanak. Contoh-contoh aktiviti yang dapat dilakukan juga disertakan bagi memudahkan guru merancang persekitaran pembelajaran supaya keinginan kanak-kanak meneroka berlaku. Bersesuaian dengan peranan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bab sembilan menerangkan peranan teknologi komputer bagi menghasilkan pembelajaran yang bermakna dan menarik. Bagi memantau perkembangan kanak-kanak, guru perlu melakukan penilaian. Bab sepuluh membincangkan beberapa cara yang dapat guru gunakan bagi mendapat maklumat berhubung perkembangan kanak-kanak.
Kebanyakan guru prasekolah sering menganggap tugas utama dalam pengajaran sains adalah menyampaikan sebanyak mungkin isi pelajaran sains kepada kanak-kanak. Tanggapan ini adalah berasaskan kepercayaan sains hanyalah himpunan fakta dan maklumat yang perlu kanak-kanak ketahui. Ada juga yang berpendapat sains melibatkan ujikaji yang kompleks dalam makmal. Sebenarnya, guru-guru tidak perlu mempunyai pengetahuan yang luas berhubung sains bagi mengajar sains. Mereka perlu tahu BAGAIMANA mengajar sains dan kanak-kanak harus belajar bagaimana MELAKUKAN sains’.
Adalah diharapkan buku ini sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan oleh guru-guru dan bakal guru menghayati kefahaman dan pendekatan pengajaran sains awal kanak-kanak dan seterusnya merancang persekitaran pembelajaran yang menggalakkan aktiviti penerokaan berdasarkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Hasil pendedahan awal kanak-kanak ke atas sains diharapkan mampu menanam serta membina minat mereka ke atas sains.
Isi Kandungan
Prakata Bab 1: Pembelajaran Sains Prasekolah Bab 2: Kemahiran Proses Sains Bab 3: Teori-Teori Pembelajaran Bab 4: Inkuiri dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains Bab 5: Kitar Pembelajaran Bab 6: Konsep-Konsep Asas Sains Bab 7: Pendidikan Alam Sekitar bab 8: Kesihatan dan Nutrisi Bab 9: Teknologi Komputer dalam Pembelajaran Sains Prasekolah Bab 10: Penilaian Pembelajaran Sains Prasekolah Rujukan