Bacaan wajib untuk kaunselor, guru, ibu bapa dan para pentadbir sekolah.
Fokus utama buku ini bagi mendedahkan dan memberi kefahaman pada bakal-bakal guru, guru-guru sekolah, pentadbir sekolah dan ibu bapa serta ahli masyarakat mengenai aspek-aspek dalam psikologi sosial dalam pendidikan dan perkembangan individu pelajar dalam konteks sekolah.
Buku ini berbeza dengan buku-buku psikologi pendidikan yang terdapat di pasaran di mana kecenderungan dominan di dalam buku ini adalah me-neliti faktor-faktor dalam struktur sosial di sekolah yang memberi impak ke atas tingkah laku pelajar. Walau bagaimanapun, buku ini juga serba sedikit cuba mengaitkan dan mengimbau pengetahuan pelajar ataupun guru mengenai aspek-aspek psikologi pendidikan yang merupakan asas penting bagi memahami dan melihat tingkah laku pelajar dalam konteks sosial sekolah.
Pendedahan mengenai pengaruh dan impak aspek psikosoial pada tingkah laku individu pelajar di sekolah digarap melalui pengaruh, peranan dan kefahaman guru terhadap elemen-elemen yang memberi kesan pada perlakuan pelajar iaitu terhadap individu pelajar yang lain, struktur formal sekolah, perubahan kumpulan pelajar dan aktiviti, kuasa dan kawalan oleh guru dan pentadbir dan pengaruh motivasi dan pencapaian. Selain daripada itu, buku ini juga memberi pendedahan mengenai penyelesaian masalah dalam kumpulan pelajar, bentuk komunikasi, pengukuhan sikap dan perubahan tingkah laku, intervensi kesihatan, aptitude, aspek-aspek pendidikan pencegahan dadah dan sebagainya.
Bahagian awal buku ini lebih memberi penekanan pada matlamat psikologi sosial dalam pendidikan, kepentingannya pada guru-guru dan perbincangan berkaitan beberapa teori psikologi sosial yang berkaitan dengan perkembangan pelajar. Bidang-bidang penyelidikan yang berkaitan dengan psikologi sosial juga didedahkan secara ringkas tetapi padat bertujuan memberi gambaran awal mengenai bidang dan kaedah penyelidikan yang boleh dipraktikkan oleh guru atau bakal-bakal guru di sekolah dengan tujuan untuk memahami dan mengaplikasikan langkah-langkah intervensi dalam bilik darjah.
Proses pembinaan dan pembentukan tingkah laku sosial pelajar yang juga diasaskan pada elemen-elemen kognitif dan persekitaran sosial sedia pada pelajar diperhalusi dalam bahagian kedua buku ini. Perbincangan mengenai aptitude pelajar dengan memberi penekanan pada aptitude dan kecerdasan, minat, teknik-teknik pengukuran aptitude, implikasi pada guru dan interaksi antara aptitude treatment disentuh dalam bab ketiga buku ini. Selain dari aptitude, faktor wujud dulu atau antecedents pada tingkah laku pelajar di sekolah juga dibincangkan. Aspek-aspek antecedents diperluaskan dengan pendedahan pada antecedent devians, manifestasi antecedents, pencapaian peribadi dan peranan guru dan bakal guru dalam proses pencegahan di sekolah. Kemurungan yang berkaitan dengan masalah psikososial pelajar di sekolah juga diperbincangkan dalam buku ini, dengan mendedahkan berkenaan tingkah laku murung, jenis-jenis kemurungan dan manifestasi kemurungan pelajar di sekolah.
Bahagian ketiga buku ini, lebih memberi penekanan pada aspek-aspek pengukuhan psikososial di kalangan pelajar sekolah. Oleh itu, persoalan mengenai intervensi kesihatan mental di sekolah telah di kupas dengan menumpukan pada keutamaan guru dan pelajar, pembelajaran mengatasi tekanan mental, mengenal emosi diri dan orang lain, persoalan moral dan agama, pendidikan kekeluargaan penglibatan dalam persatuan sekolah dan aspek-aspek pencegahan juga disentuh dalam bab ke enam buku ini. Selain itu, bahagian ini juga memberi pendedahan pada guru, bakal-bakal guru dan ibu bapa mengenai pengaruh aspek-aspek psikososial dalam pendidikan terhadap motivasi pelajar. Perbincangan mengenai aspek persekitaran sosial dan motivasi pelajar serta pengaruh psikososial terhadap motivasi pelajar juga telah disentuh dengan mendalam.
Bahagian keempat buku ini mengajak guru-guru dan bakal-bakal guru serta ibu bapa mendalami pemahaman mereka mengenai hubungan sosial dan pengukuhan keperibadian pelajar di sekolah. Dalam hal ini, aspek-aspek seperti kategori interaksi, halangan-halangan interaksi, elemen-elemen pengukuhan sikap melalui interaksi dan misi sekolah telah dikupas dengan mendalam dalam bab kelapan buku ini. Aspek-aspek pengukuhan keperibadian pelajar juga didalami melalui perbincangan aspek persekitaran sosial di sekolah, peranan guru, ibu bapa dan ahli masyarakat.
Bahagian kelima buku ini lebih menumpukan pada pendedahan pengetahuan dan pemahaman pada bakal-bakal guru, guru-guru dan ibu bapa serta ahli masyarakat mengenai kepentingan pendidikan pencegahan dadah di Malaysia. Program-program pendidikan pencegahan dadah, pendekatan kemahiran sosial, pembimbing rakan sebaya, pendekatan kemasyarakatan, pengaruh keluarga dan sebagainya telah dibincangkan dengan melihat kejayaan program pendidikan pencegahan dadah di luar negeri. Penulis juga memberi pendedahan berkaitan dengan program pendidikan yang terdapat di Malaysia iaitu program pendidikan pencegahan awalan dalam bilik darjah dan program pendidikan pencegahan di luar bilik darjah yang sedang dilaksanakan.
Buku ini juga menumpukan pada dua program pendidikan pencegahan dadah yang menjadi latar utama pada program pendidikan pencegahan dadah di sekolah-sekolah di Malaysia iaitu Program Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) dan Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR). Bagi menjamin keberkesanan perlaksanaannya di sekolah-sekolah di Malaysia, buku ini menghuraikan secara terperinci mengenai Skim SLAD, perlaksanaan SLAD, pengertian logo SLAD, dan buku SLAD. Manakala, bagi sekolah rendah, buku ini mendedahkan pada bakal-bakal guru, guru dan ibu bapa mengenai program PINTAR, kelab PINTAR, pengurusan kelab PINTAR, program waris PINTAR, buku PINTAR, buletin PINTAR, lagu, ikrar dan logo PINTAR telah dibincangkan dengan mendalam dalam bab kedua belas buku ini.
Buku ini dapat dijadikan sebagai asas panduan pada bakal-bakal guru, ibu bapa dan pentadbir sekolah untuk memahami perkembangan individu pelajar dalam konteks persekitaran sosial sekolah. Secara tidak langsung melalui pemahaman dan pengetahuan yang baik mengenai perkembangan psikososial pelajar akan dapat mengurangkan masalah-masalah yang berkaitan devian, salah laku, kemurungan, masalah kesihatan mental, penagihan dadah dan sebagainya yang boleh menjejaskan perkembangan akademik dan sahsiah pelajar. Seterusnya buku ini diharap dapat menyumbang pada proses pembentukan dan pencapaian matlamat dan Falsafah Pelajaran Kebangsaan (FPK) serta pembentukan modal insan yang berkualiti ke arah mencapai matlamat RMK-9.