Penulis : Robiah K. Hamzah, Jumlah Muka surat : 212
Sinopsis
Mengapa sesetengah orang berjaya dan sesetengah tidak? Adakah kerana baka? Persekitaran? Atau budaya yang diamalkan?
Golongan remaja adalah pewaris generasi yang akan datang. Golongan remaja banyak memberi kesan kepada perkembangan budaya masyarakat dan negara. Cara hidup yang diamalkan oleh golongan remaja masa kini adalah gambaran budaya yang akan datang. Oleh itu kalau budaya masa kini itu baik dan sesuai maka dapat dianggap baik dan sesuai pulalah budaya yang terbina pada masa akan datang. Tetapi jika sebaliknya yang terjadi, kesannya amat besar pada pembangunan budaya bangsa dan negara. Luntur budaya rosaklah bangsa.
Budaya ialah cara hidup yang menjadi sendi sesuatu bangsa. Budaya tidak dapat dibentuk dalam masa sehari atau dalam sekelip mata tetapi memerlukan masa yang sangat lama. Oleh itu pembentukan budaya positif masyarakat akan datang perlu bermula dari sekarang. Semua golongan dewasa sama-sama bertanggungjawab untuk membina, membentuk dan mendidik setiap individu remaja menjadi insan yang berbudaya positif.
Pepatah Melayu ada mengatakan, "Bagaimana acuan begitulah kuihnya", "Bapak borek anaknya rintik." Dua bahasa menunjukkan bangsa pepatah itu menggambarkan betapa eratnya hubungan kejiwaan antara golongan dewasa dengan remaja dan segi pembentukan jasmani dan rohani remaja.
Pergolakan dan krisis yang dialami oleh golongan remaja dari segi jasmani dan rohani seperti dalam pergaulan, pegangan agama dan cara hidup amat kuat mendorong ke arah budaya yang negatif, bercanggah dengan budaya ketimuran.
Untuk memenuhi hasrat wawasan negara dan menyelamatkan remaja daripada menjadi mangsa budaya negatif maka buku Menjadi Remaja Berbudaya Positif dihasilkan dengan tujuan untuk memberi maklumat, membimbing dan mengasuh remaja supaya dapat lengkapkan diri dengan ciri budaya yang dapat membangun bangsa.
Antara budaya cemerlang yang perlu diasuhkan kepada remaja ialah melalui bahasa. Berbahasa sebagai satu budaya amat perlu bagi remaja, agar mereka dapat memainkan peranan seberkesan mungkin dalam setiap aktiviti dan situasi yang mereka temui secara formal ataupun tidak formal ataupun di mana sahaja mereka berada.
Dalam setiap situasi sosial, berbahasa mengikut budaya adalah cara yang menggambarkan keyakinan, kematangan, kecekapan, sopan santun dan kemesraan seseorang individu dalam menghasilkan interaksi yang berkesan, efektif dan menarik. Antara situasi interaksi yang perlu dikuasai oleh remaja ialah budaya berbahasa melalui telefon untuk menyapa seseorang, berkenalan, mengucapkan selamat tinggal, mendapat maklumat, mengucapkan terima kasih dan membalas terima kasih, menerima dan menolak jemputan, membuat permintaan, memberi kemaafan dan menjawab kemaafan, memberi dan membalas pujian, membuat aduan, menyatakan dan menolak pendapat, mendapatkan simpati dan berbahasa untuk mendapat perhatian.
Buku ini membincangkan cara membina budaya positif dan dalam diri individu bermula daripada peringkat remaja lagi. Antara yang disentuh adalah mengenali gaya hidup remaja, berani membuat perubahan, mendapatkan dorongan, mengendalikan kegagalan, membina personaliti sebagai pemimpin dan budaya menghadapi rasa bersalah, tekanan perasaan dan menghadapi rasa bosan.
Dengan menggunakan ciri-ciri budaya dan kedua-dua bab, remaja akan lebih berkeyakinan dan bertenaga untuk memainkan peranan sebagai agen penyubur dan pengerat hubungan antara kaum di Malaysia. Dengan itu bahagian ketiga buku ini menyediakan kesempatan untuk remaja mengamalkan budaya yang mewarnakan masyarakat Malaysia, dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara kaum.
Dalam bab ini dibincangkan dua perkara penting yang boleh disuburkan melalui budaya supaya hubungan antara kaum dapat dieratkan. Dengan memahami dan menghormati unsur budaya, remaja akan dapat menghormati nilai hidup masyarakat kaum lain, yang secara tidak langsung sesuai dengan peranan remaja sebagai penerus dan penyubur budaya bangsa akan datang.
Isi Kandungan
Pengenalan xv
Bahagian 1 : Berbudaya Melalui Bahasa 1. Berbahasa dalam Telefon 2. Perbualan Telefon dalam Situasi Khusus 3. Berbahasa untuk Menyapa dan Menjawab Sapaan 4. Berbahasa untuk Berkenalan 5. Bahasa Selamat Tinggal dan Selamat Berpisah 6. Berbahasa untuk Mendapat Maklumat 7. Budaya Mengucapkan Terima Kasih 8. Budaya Menerima dan Menolak Jemputan 9. Budaya Membuat Permintaan 10. Budaya Memohon Maaf dan Menjawab Kemaafan 11. Memberi Pujian dan Menjawab Pujian 12. Budaya Membuat Aduan 13. Budaya Menyatakan Pendapat, Persetujuan dan Membangkang Pendapat 14. Budaya untuk Mendapat Perhatian 15. Budaya Menyatakan dan Menerima Simpati
Bahagian 2 : Mengenali Gaya dan Corak Hidup 16. Gaya Hidup 17. Perubahan Selain Mencabar 18. Untuk Berasa Gembira Tidak Mudah 19. Peranan `Kata' yang Kita `Kata' 20. Kehidupan Adalah Putaran Budaya yang Kita Mesti Warisi 21. Dorongan Perlu untuk Cemerlang: Siapa yang Mendorong Anda 22. Mengendalikan Kegagalan 23. Apabila Pada Satu Ketika, Hidup Anda Tidak Menentu 24. Membina Personaliti Sebagai Pemimpin 25. Menghadapi Rasa Bersalah, Tekanan Perasaan dan Rasa Bosan 26. Tekanan Perasaan
Bahagian 3 : Menghayati Budaya Masyarakat Lain 27. Budaya Berkunjung 28. Amalan Agama dan Hari Perayaan Penting yang Perlu Dihormati