Penulis : Robiah K. Hamzah, Jumlah Muka surat : 144
Sinopsis
Kemahiran komunikasi membolehkan remaja berasa yakin yang dia mampu mengatasi kegagalan, mencapai tujuan positif dan menangani dirinya dengan tenang dalam pelbagai situasi.
Kajian menunjukkan apabila kita berkomunikasi secara berhadap-hadapan, hanya 10 peratus sahaja kesan komunikasi yang dihasilkan dari perkataan. Selebihnya 90 peratus kesan komunikasi datangnya daripada gerak bukan lisan seperti ekspresi muka, pertemuan mata, gerak tubuh, postur, penampilan keseluruhan dan nada suara. Oleh itu, semua kita bertanggungjawab penuh mengasuh semua remaja kita untuk menguasai kemahiran berkomunikasi yang baik dan efektif.
Tanggungjawab mendidik anak adalah penting dan berat. Mengabaikan tanggungjawab itu mengakibatkan masa depan anak-anak muram dan terdedah kepada kepincangan. Tanggungjawab mendidik ini berjalan terus sejak anak di dalam kandungan, semasa bayi, di peringkat kanak-kanak, sehinggalah anak itu mencapai peringkat remaja dan seterusnya mencapai alam dewasa. Oleh itu, bakal ibu bapa dan semua golongan pembimbing yang menjalankan tugas sebagai pengasuh dan pembimbing remaja sebaik-baiknya mempunyai pengetahuan, kefahaman dan kesedaran yang cukup lengkap dan mendalam berhubung ilmu mendidik anak daripada peringkat bayi hinggalah ke peringkat remaja dan dewasa.
Malah pengetahuan mendidik anak pada peringkat remaja adalah lebih penting lagi kerana anak pada peringkat ini berada di ambang alam dewasa dan menghadapi banyak cabaran daripada segi fizikal, emosi, mental dan sosial yang begitu kritikal. Andainya anak pada peringkat remaja ini kurang mendapat bimbingan dan asuhan yang sewajarnya, maka masa depan remaja itu di alam dewasanya juga akan turut terjejas.
Ibu bapa perlu sedar, sebuah keluarga adalah seperti sebuah kapal. Ibu bapa nakhodanya dan anak-anak kelasinya. Bagi menjamin supaya kapal itu mampu bergerak menuju lautan mengharungi cabaran ombak dan angin di lautan maka nakhoda dan kelasi perlu mampu memahami antara satu sama lain dan membina komunikasi dengan berkesan supaya dapat bekerjasama. Kesemuanya sama penting. Kesemua ahli perlu faham pelabuhan mana yang akan dituju oleh nakhoda. Tanpa hubungan yang erat ini, sudah pasti kapal itu tidak sampai ke pelabuhan yang diidamkan. Begitulah pentingnya peranan ibu bapa untuk membina hubungan komunikasi dengan anak-anak, lebih-lebih lagi anak remaja. Sebab itulah dikatakan menjadi ibu bapa adalah tugas yang sulit, terutamanya untuk membina komunikasi berkualiti bagi meningkatkan tahap keyakinan dalam diri anak remaja.
Kemahiran komunikasi membolehkan remaja berasa yakin yang dia mampu mengatasi kegagalan, mencapai tujuan positif dan menangani dirinya dengan tenang dalam pelbagai situasi. Remaja yang mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik akan mempunyai keyakinan diri juga akan memiliki sikap menghargai dirinya dan mempercayai orang lain serta percaya dengan kemampuan dirinya. Akhirnya anak ini akan membesar sebagai anak yang penuh dengan harapan. Oleh itu, setiap ibu bapa perlu berusaha meningkatkan kemahiran komunikasi hingga dapat membina rasa cinta dalam diri anak remaja dengan penuh keyakinan bahawa dia mampu mengendalikan hidupnya dengan baik.
Buku ini juga memaparkan beberapa cadangan yang boleh difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Buku ini memberi banyak tumpuan bagi membantu ibu bapa membina keyakinan dalam diri anak remaja di samping panduan-panduan untuk berkomunikasi dan mendampingi anak remaja masing-masing. Sebagai bahan pemikiran dan renungan penting untuk ibu bapa, Bab 7 khusus memaparkan lima belas kisah benar yang terjadi pada remaja yang berpunca daripada sikap dan layanan ibu bapa untuk membolehkan kita belajar dari pengalaman. Semua ibu bapa dan pembimbing remaja diharapkan dapat memanfaatkan panduan dan bimbingan ini untuk menambah dan meningkatkan lagi kepekaan dan kesedaran sebagai pendamping remaja yang berkesan dan dikagumi oleh semua remaja. Dengan izin Tuhan. ROBIAH KULOP HAMZAH
Isi Kandungan
Pengenalan 1. Remaja pada Pandangan Ibu Bapa Mengenal Remaja Peranan Ibu Bapa
2. Bimbingan Harga Diri Remaja Pengertian Konsep Remaja dengan Harga Diri Tinggi Remaja dengan Harga Diri Rendah Pembinaan Harga Diri 3. Gaya Berkomunikasi dengan Remaja Mengapa Berinteraksi? Kemahiran Berinteraksi 4. Memahami Keistimewaan dan Kelainan Remaja Bagaimana Remaja Dapat Dibantu 5. Peranan Model dalam Pertumbuhan Remaja Jenis Model Siapa Model Remaja? 6. Kerengangan Hubungan Remaja dengan Keluarga 7. Belajar dari Pengalaman Lalu Kes Pertama Kes Kedua Kes Ketiga Kes Keempat Kes Kelima Kes Keenam Kes Ketujuh Kes Kelapan Kes Kesembilan Kes Kesepuluh Kes Kesebelas Kes Kedua Belas Kes Ketiga Belas Kes Keempat Belas Kes Kelima Belas 8. Kaedah Mendampingi Remaja Langkah 1: Pelajari Seni Memberi Pujian Langkah 2: Seni Berterima Kasih Langkah 3: Dapatkan Pandangan Anak Anda Langkah 4: Menghormati Hasil Karya Anak Anda Langkah 5: Membantunya dalam Pergaulan Langkah 6: Tegakkan Peraturan Langkah 7: Dorong Anak Anda Bertanya Langkah 8: Kepentingan Berasa Penting Langkah 9: Melahirkan Bintang Langkah 10: Latih Anak Berdoa Langkah 11: Bina Sikap Suka Memberi Langkah 12: Dorong Anak Anda Menghafal Langkah 13: Biar Anak Mempunyai Orang Lain yang Dihormatinya Langkah 14: Elakkan Ancaman Kosong Langkah 15: Membantu Anak Menghadapi Kegagalan Langkah 16: Terangkan Apa Harapan Anda Langkah 17: Minta Maaf pada Anak Langkah 18: Ucapkan Rasa Sayang Bibliografi Biodata Pengarang