Penulis : Prof. Abdullah Hassan, Aripin Said, Ainon Mohd Jumlah Muka surat : 260
Sinopsis
Seni membawa acara majlis adalah suatu kemahiran, oleh itu seseorang pembawa acara majlis memerlukan banyak pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi dan berbahasa. Salah satu kemahiran yang mesti dimiliki oleh pembawa majlis adalah kemahiran menggunakan bahasa berirama iaitu salah satu seni bahasa ungkapan tradisional.
Terdapat begitu banyak jenis-jenis majlis rasmi dan tidak rasmi sehingga kita tidak dapat menyenaraikannya satu persatu di sini, umpamanya taklimat, menyambut pegawai baru, meraikan kenaikan pangkat, perpindahan, persaraan, pertunangan, pernikahan, ulang tahun perkahwinan, hari jadi, majlis ceramah, dan sebagainya. Walaupun begitu, gurindam yang terdapat dalam buku ini dapat disesuaikan dan diolah semula untuk digunakan dalam majlis-majlis itu.
Seni membawa acara majlis adalah suatu kemahiran, oleh itu seseorang pembawa acara majlis memerlukan banyak pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi dan berbahasa. Salah satu kemahiran yang mesti dimiliki oleh pembawa majlis adalah kemahiran menggunakan bahasa berirama iaitu salah satu seni bahasa ungkapan tradisional.
Ungkapan-ungkapan tradisional membawa nilai yang tinggi dalam kehidupan berbudaya. Dalam ungkapan tradisional terkandung nilai-nilai masyarakat yang berlandaskan agama dan kepercayaan yang diwarisi daripada generasi ke generasi. Walaupun bahasa berirama mengandungi penggunaan gaya bahasa tradisional namun ia dapat memanfaatkan perkataan-perkataan moden supaya sesuai dengan konteks majlis moden semasa.
Bahasa berirama mengungkapkan kebijaksanaan sepanjang masa, iaitu warisan daripada zaman lampau, oleh itu kita dengan mudah dapat memahaminya. Ini membolehkannya difahami oleh hadirin daripada pelbagai lapisan dan pengetahuan.
Bahasa berirama dapat memperindah gaya bahasa Pembawa Majlis dan menjadi strategi baik bagi menyatakan arahan, kritikan, nasihat dan pedoman yang sekiranya dinyatakan dalam bahasa biasa akan menjatuhkan maruah orang yang dimaksudkan dan merosakkan perhubungan sosial. Di sinilah terletaknya kelebihan penggunaan bahasa berirama dalam majlis, bahkan dapat menjadi seni yang dapat menambah keberkesanan tugasnya. Bahasa berirama itu ialah bahasa yang dilahirkan oleh budaya tinggi. Ia menyatakan kebijaksanaan dalam mengungkapkan kecendekiaan.
Tidak semua orang dapat mengungkapkan butir-butir fikirannya dengan menggunakan gaya bahasa yang halus dan yang indah. Melalui bahasa berirama kita dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan.
Bahasa berirama adalah suatu jenis keindahan kesenian. Walaupun isi kandungannya berupa kritikan tajam dan pedas, disebabkan kritikan itu disampaikan dengan menggunakan bahasa berirama, maksud dapat disampaikan dan diterima sebagai mesej halus. Walaupun menyampaikan yang sesuatu yang tidak disenangi, tetapi gaya bahasa yang halus dapat diterima. Kritikan dapat diungkapkan dengan tidak menyatakan sebarang nama, atau menyatakan apa yang salah dengan spesifik. Ungkapan tersebut tetap lunak pada pendengaran walaupun negatif. Sebarang kritikan tidaklah sangat dirasakan dikritik, semuanya dilembutkan oleh kesan indah bahasa berirama.
Bahasa berirama mudah difahami. Bagi orang yang baru sahaja buat pertama kali mendengar ungkapan bahasa berirama dia sudah dapat menduga maksudnya sambil menikmati keindahannya. Para pendengar dapat membuat kesimpulan yang tepat dan bernas.
Bahasa berirama adalah unsur bahasa klasik. Unsur klasik membawa kuasa dan autoriti yang tidak dicabar lagi kebenarannya. Ini dapat meningkatkan keberkesanan pembawa acara dalam majlis dengan meningkatkan karisma pembawa acara dalam sebuah majlis.
Ada beberapa jenis bahasa berirama, iaitu talibun, pantun, syair, gurindam, teromba, seloka, dan lain-lain. Semua ungkapan ini, yang diwariskan kepada oleh generasi lalu dapat digunakan untuk fungsi-fungsi yang tersenarai di bawah. Malah, ungkapan baru dapat dibentuk bagi memenuhi sebarang konteks dan situasi baru.
Ungkapan-ungkapan dalam buku ini, kecuali beberapa rangkap, adalah ungkapan-ungkapan yang dicipta khusus bagi membolehkan bahasa berirama digunakan dalam majlis-majlis kontemporari.